SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjangkakan lebih ramai individu akan dipanggil bagi membantu siasatan dan ditahan dalam kes penggodaman Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) menerusi Op Crack.
Op Crack membongkar sindiket yang menggodam sistem Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk meluluskan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) secara tidak sah.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, siasatan masih diteruskan dengan lebih ramai individu berada dalam radar pihaknya, selain menjangkakan sitaan tambahan akan dilakukan.
Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan identiti individu yang akan dipanggil bagi membantu siasatan itu.
“Identiti itu kita kena rahsiakan dahulu untuk peringkat penyiasatan ini. Jadi, sesiapa sahajalah yang berkait dan terkait itu akan dipanggil.
“Mungkin orang awam, mungkin orang luar, mungkin warganegara asing, mungkin juga pegawai daripada JIM sendiri,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media bersama Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban di ibu pejabat SPRM di Putrajaya hari ini.
Kelmarin media melaporkan, enam pegawai JIM antara 12 individu yang direman SPRM bagi membantu siasatan kes bersubahat menggodam MyIMMs berkaitan proses permohonan serta kelulusan PLKS secara tidak sah.
Enam pegawai JIM itu terdiri daripada empat pegawai dan dua pegawai Bahagian Teknologi Maklumat JIM. Selain mereka turut direman adalah dua pengarah syarikat, tiga warga asing dan seorang pegawai polis.
Perintah reman selama tiga hari sehingga hari ini terhadap lima suspek lelaki dan dua hari sehingga semalam terhadap lima suspek lelaki serta dua suspek wanita telah dikeluarkan Majistret Ezrene Zakariah selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya.
Menurut sumber, 10 suspek lelaki dan dua wanita berusia lingkungan 30 hingga 40-an telah ditahan antara jam 2 hingga 5 petang Selasa lalu di ibu pejabat SPRM dan JIM Pulau Pinang.






