MAHKAMAH Majistret Johor Bahru hari ini melepas dan membebaskan dua wardar serta seorang pegawai penjara daripada tuduhan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap seorang tahanan, empat tahun lalu.
Keputusan itu dibuat Majistret A Shaarmini selepas mangsa enggan meneruskan pendakwaan dan menarik balik laporan polis yang dibuat berhubung kejadian berkenaan.
Pada 16 Mac lalu, ketiga-tiga tertuduh, Mohamad Ridzuanuddin Nawawi, 33; Mohamad Tarmizi Mohd Yusoff, 34 dan Ahmad Kamal Fitri Abdullah, 32, dihadapkan ke mahkamah sebelum mengaku tidak bersalah.
Prosiding perbicaraan kes itu kemudian dimulakan pada 20 Ogos lalu, lapor Harian Metro.
Mengikut kertas pertuduhan, Mohamad Ridzuanuddin didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap AK Navindrahkumar, 30, di Blok A, Pusat Koreksional Johor Bahru, di sini, kira-kira jam 5.45 petang, 19 Julai 2022.
Mohamad Tarmizi dan Ahmad Kamal Fitri pula didakwa secara bersama melakukan perbuatan sama terhadap mangsa di lokasi dan tarikh yang sama, kira-kira jam 4.30 petang.
Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Eizlan Azhar, manakala semua tertuduh diwakili peguam Kamal Hisham Jaafar dan Nurainaa Kamilah Zalizan.





