AGENSI Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) memaklumkan, saringan pengimbas bagasi milik juruterbang Malaysia yang ditahan di Jakarta, Indonesia minggu lalu, diselia sepenuhnya oleh pihak Malaysia Airports.
Menurut agensi itu, proses pemeriksaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) itu dijalankan dengan pemantauan pegawai Pasukan Keselamatan Penerbangan (AVSEC) di bawah kendalian Malaysia Airports.
Ini menunjukkan AKPS tidak mempunyai peranan dalam pemeriksaan bagasi milik juruterbang terbabit.
Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain mengesahkan, pihaknya tidak terbabit atau memainkan peranan dalam pemeriksaan bagasi suspek berkenaan.
“Benar, saya sahkan pegawai agensi di bawah AKPS iaitu Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) tidak terbabit dalam proses pemeriksaan melalui mesin pengimbas di KLIA.
“Pemeriksaan melalui mesin pengimbas bagasi ini dikendalikan oleh pihak AVSEC dan seperti yang saya jelaskan dalam sidang media petang tadi, dapatan yang diterima dalam pemeriksaan awal mendapati tiada sebarang penemuan objek mencurigakan ketika bagasi juruterbang itu melalui mesin pengimbas sebelum dibenarkan menaiki pesawat.
“Dia melalui dan melepasi semua pemeriksaan. Bagaimanapun, pada masa ini siasatan lanjut sedang dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) bagi mengenalpasti punca utama bagaimana dadah seberat 26 kilogram (kg) itu mampu menembusi pemeriksaan mesin pengimbas yang dilengkap sistem berteknologi tinggi,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi, lapor BH.
Mohd Shuhaily berkata, pihaknya enggan mengulas lanjut perkara berkenaan secara lebih terperinci kerana dikhuatiri mampu menjejaskan siasatan pihak polis.
“Kita sedia maklum pihak berkuasa di Indonesia sudah mendedahkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) ketika juruterbang berkenaan ditahan pada malam 28 Julai lalu, namun konsep undang-undang di negara berkenaan dengan Malaysia adalah berbeza,” katanya.
Ketika ditanya adakah ada unsur ‘counter setting‘ turut berlaku dalam kes itu, Mohd Shuhaily, berkata unsur berkenaan akan dikesan apabila siasatan oleh pihak polis selesai dijalankan.
“Pada saya, kami di AKPS sudah melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan dan seperti yang saya jelaskan bahawa pihak kami tidak akan berkompromi dengan sebarang elemen penyeludupan.
“Malah, berdasarkan rekod sebelum ini AKPS turut mengambil tindakan terhadap pegawai yang dikesan terbabit dalam komplot dengan sebarang elemen penyeludupan dan kemasukan warga asing secara salah,” katanya.
Sehubungan itu, Mohd Shuhaily meminta orang ramai memberikan ruang kepada pihak polis melaksanakan siasatan dalam mengenalpasti pihak atau individu yang bertanggungjawab bersekongkol dalam kes berkenaan.
Untuk rekod, enam agensi teras di bawah AKPS adalah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).
Pada malam 28 Julai lalu, juruterbang Malaysia Airlines berusia 39 tahun itu ditahan di Terminal 3 Lapangan Terbang Soekarno-Hatta, oleh Bahagian Kastam dan Cukai (BEA) Indonesia, selepas pemeriksaan terhadap bagasinya menemukan 15 peket besar mengandungi 70,114 pil ekstasi dan dadah jenis syabu.






