SEORANG pekebun warga emas yang ditahan semalam selepas disyaki menembak mati tiga individu di sebuah restoran di Taman Kota Jaya, Kota Tinggi, direman selama tujuh hari sehingga Ahad depan bagi membantu siasatan.
Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Nurkhalida Farhana Abu Bakar selepas permohonan dibuat Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi yang juga pegawai penyiasat kes, Asisten Superintenden Nor Azizi Indzam.
Reman bermula hari ini itu diberikan bagi membolehkan siasatan lanjut dibuat ke atas suspek lelaki tempatan berusia 71 tahun itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Terdahulu, suspek tiba di pekarangan mahkamah kira-kira jam 9 pagi dengan tangan bergari diiringi anggota polis dari IPD Kota Tinggi.
Semalam, Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad dilaporkan berkata, polis tidak menolak kemungkinan motif suspek melepaskan tembakan sehingga menyebabkan dua lelaki tempatan dan seorang wanita Vietnam maut adalah disebabkan hutang peribadi.
Dalam kejadian jam 1.30 petang itu, suspek ditahan setengah jam kemudian, dan mempunyai lesen senjata api yang sah.
Mangsa berusia antara 37 hingga 63 tahun maut di lokasi kejadian.


