BANK Negara Malaysia (BNM) menerusi Jawatankuasa Dasar Monetari hari ini memutuskan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus.
Bank pusat itu dalam satu kenyataan berkata, ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 4.4 peratus pada separuh pertama 2025, disokong oleh aktiviti perbelanjaan dan pelaburan yang berterusan, dan dijangka berkembang antara 4 hingga 4.8 peratus pada tahun ini.
Menjelang 2026, ia berkata pertumbuhan akan terus disokong oleh permintaan dalam negeri yang berdaya tahan.
Menurutnya, guna tenaga, pertumbuhan upah serta langkah-langkah dasar berkaitan pendapatan akan kekal menyokong perbelanjaan isi rumah.
BNM berkata, pengembangan aktiviti pelaburan akan didorong oleh kemajuan projek berbilang tahun yang dilaksanakan dalam sektor swasta dan awam, lebih banyak pelaksanaan berterusan pelaburan yang telah diluluskan, serta inisiatif pemangkin yang terus dilaksanakan di bawah beberapa pelan induk nasional dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
“Prospek ini kekal tertakluk pada ketidakpastian, khususnya berhubung dengan perkembangan global.
Risiko prospek pertumbuhan menjadi perlahan kekal berpunca daripada perdagangan global yang lebih perlahan, sentimen yang lebih lemah serta pengeluaran komoditi yang lebih rendah daripada jangkaan.


