Saman RM600 juta terhadap Google bukti ketegasan Malaysia, usah dipolitikkan!

PENULIS terbaca satu hantaran dalam Tik Tok yang mengecam tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) memfailkan saman terhadap Google RM600 juta.

Sungguh memualkan apabila individu yang membuat hantaran itu yang penulis percaya kepala otaknya sudah dicemari ‘ulat politik’ mempersoalkan tindakan MCMC di bawah Kementerian Komunikasi itu.

Individu tersebut mengaitkan dengan potensi Google mahu melabur RM61 bilion di negara ini seperti mana diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.

Antara saman tersebut dengan potensi pelaburan tidak ada kaitan sama sekali walaupun melibatkan syarikat yang sama. Soalnya adakah sesiapa juga melabur atau berhasrat melabur di negara ini berhak melakukan apa sahaja yang tidak mematuhi atau melanggar undang-undang negara ini?

Kalau mahu berpolitik pun, kalaupun mahu berhujahpun gunalah akal, fahami isu dan jangan berhujah menggunakan emosi apatah sentiment politik sempit!

Faktanya, tindakan MCMC memfailkan dua saman terhadap Google LLC dengan tuntutan ganti rugi keseluruhan RM600 juta pada 25 November 2026 membawa satu mesej penting mengenai perubahan pendekatan Malaysia dalam mengawal selia platform media sosial.

 Ia bukan sekadar pertikaian antara badan pengawal selia dengan sebuah syarikat teknologi antarabangsa, sebaliknya mencerminkan persoalan lebih besar tentang tanggungjawab platform digital terhadap keselamatan masyarakat di negara tempat mereka menjalankan perniagaan.

Selama ini, syarikat teknologi gergasi seperti Google, Meta dan TikTok menikmati pasaran pengguna yang besar di Malaysia, tetapi usaha menangani kandungan memudaratkan sering berhadapan isu kelewatan tindakan, ketidakseragaman maklum balas dan kesukaran mendapatkan kerjasama.

Dalam keadaan itu, tindakan MCMC terhadap Google menunjukkan kerajaan mahu memastikan tanggungjawab menjaga keselamatan ruang digital tidak diletakkan sepenuhnya di bahu pengguna dan pihak berkuasa tempatan.

Apa yang menjadikan tindakan ini signifikan ialah jumlah tuntutan RM600 juta itu sendiri. MCMC memfailkan dua tindakan undang-undang berasingan dengan tuntutan RM300 juta bagi setiap saman, merangkumi RM100 juta ganti rugi am, RM100 juta ganti rugi teruk dan RM100 juta ganti rugi teladan.

Menurut MCMC, tuntutan tersebut mengambil kira penggunaan sumber dan tenaga kerja yang besar untuk menangani lebih 50,000 kandungan dalam talian yang memudaratkan serta bertujuan mencegah ketidakpatuhan berulang.

Saman pertama berkaitan dakwaan kegagalan Google mengambil langkah sewajarnya terhadap kandungan perjudian dalam talian, penipuan dan scam yang tersebar menerusi YouTube.

Statistik yang dikemukakan MCMC memperlihatkan skala masalah berkenaan apabila sebanyak 74,703 laporan dikemukakan kepada YouTube antara 1 Januari hingga 28 Oktober 2026. Daripada jumlah itu, 74,569 laporan atau 99.8 peratus berkaitan perjudian dalam talian.

Lebih penting, daripada laporan berkaitan perjudian dalam talian itu, sebanyak 32,781 menerima maklum balas atau tindakan penurunan kandungan dalam tempoh sehari, manakala 4,950 tidak menerima sebarang maklum balas.

Sebanyak 1,468 laporan pula mengambil masa lebih 30 hari dan 35 laporan melebihi 90 hari untuk menerima maklum balas atau tindakan. Angka ini menimbulkan persoalan mengenai keberkesanan mekanisme aduan platform, khususnya apabila kandungan yang dilaporkan berpotensi terus mempengaruhi pengguna sepanjang tempoh menunggu tindakan.

Isu ini tidak boleh dilihat sebagai masalah teknikal semata-mata kerana perjudian dalam talian dan penipuan digital mempunyai kesan langsung terhadap kehidupan rakyat.

Mangsa bukan sahaja berisiko kehilangan wang simpanan, malah boleh terjerat dengan hutang, penyalahgunaan maklumat peribadi dan tekanan keluarga. Lebih membimbangkan, kandungan sedemikian boleh disebarkan melalui iklan, video dan akaun yang kelihatan meyakinkan sehingga pengguna sukar membezakan antara promosi sah dengan perangkap penipuan.

Saman kedua pula membabitkan dakwaan kegagalan Google mengambil langkah statutori dan proaktif untuk menghalang penerbitan semula kandungan yang didakwa melanggar undang-undang di YouTube oleh Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai Papagomo.

Kandungan berkenaan tertakluk kepada injunksi interim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 19 Jun 2026. Perkara ini membawa persoalan penting tentang sejauh mana platform digital perlu bertindak apabila kandungan tertentu sudah menjadi subjek perintah mahkamah.

Dari sudut penguatkuasaan, tindakan MCMC turut memperlihatkan bahawa kerajaan mahu mengubah tanggapan platform media sosial bahawa mereka hanya bertanggungjawab menyediakan ruang penerbitan, manakala kandungan yang dimuat naik sepenuhnya menjadi tanggungjawab pengguna.

Hakikatnya, apabila sesuatu platform mempunyai keupayaan mengesan, menyaring dan menyekat kandungan, tanggungjawab untuk mengambil tindakan sewajarnya perlu diberikan perhatian, terutama apabila keselamatan orang ramai terancam.

Langkah ini juga perlu dilihat dalam konteks pelaksanaan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Akta Keselamatan Dalam Talian 2025. Kedua-dua kerangka perundangan berkenaan menjadi asas kepada tanggungjawab penyedia perkhidmatan dalam memastikan persekitaran digital lebih selamat.

Melalui pendekatan pelesenan dan penguatkuasaan, MCMC mempunyai ruang lebih jelas untuk menuntut pematuhan daripada penyedia platform yang tertakluk kepada undang-undang Malaysia.

Bagi Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, perkembangan ini memperlihatkan cabaran sebenar dalam menguruskan ekosistem digital negara. Ketegasan kerajaan tidak sepatutnya hanya diukur melalui kenyataan atau amaran kepada syarikat teknologi, tetapi juga melalui kesediaan menggunakan saluran undang-undang apabila rundingan dan permintaan kerjasama tidak menghasilkan penyelesaian yang memuaskan.

Tindakan MCMC terhadap Google memberikan gambaran bahawa pendekatan pengawalseliaan kini merangkumi tindakan perundangan, bukan sekadar peringatan pentadbiran.

Namun, saman RM600 juta ini bukan penamat kepada perjuangan memastikan Internet lebih selamat. Kejayaan sebenar perlu diukur berdasarkan pengurangan kandungan perjudian dan penipuan, kepantasan platform mengambil tindakan terhadap aduan, perlindungan kanak-kanak serta keyakinan pengguna terhadap mekanisme keselamatan digital.

MCMC juga perlu memastikan penguatkuasaan dilaksanakan secara konsisten terhadap semua platform tanpa mengira saiz, pengaruh atau kepentingan komersial syarikat berkenaan.

Akhirnya, isu saman terhadap Google membawa satu mesej bahawa kedaulatan undang-undang Malaysia perlu dihormati dalam setiap ruang, termasuk alam digital. Platform media sosial tidak boleh menikmati keuntungan daripada jutaan pengguna tempatan tanpa mengambil kira kesan kandungan yang disebarkan melalui perkhidmatan mereka.

Sama ada Google bersalah atau tidak, biar mahkamah tentukan tetapi apa yang pasti  tindakan tersebut sudah meletakkan satu penanda aras penting dalam hubungan antara kerajaan dengan syarikat teknologi global: keselamatan rakyat, perlindungan pengguna dan pematuhan undang-undang mesti menjadi sebahagian daripada tanggungjawab menjalankan perniagaan di Malaysia.

Tiada tolak ansur dalam soal tersebut. Oleh itu kalau ada yang tidak faham isu, tak payah nak tunjuk pandai apatah lagi menggunakan bahasa kesat terhadap pihak  yang tidak sehaluan dengan fahaman politik mereka…jangan benak sangat!



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here