POLIS sedang memburu dua lelaki dipercayai terbabit kes samun bersenjata di sebuah stesen minyak di kawasan Jalan Klang-Banting, Jenjarom, Kuala Langat kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd Akmalrizal Radzi berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian jam 10.18 malam.
“Seorang wanita warga tempatan memaklumkan melihat dua suspek yang memakai topeng.
“Mereka memegang sebilah parang dan objek menyerupai sepucuk pistol di dalam kaunter stesen minyak terbabit,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.
Mohd Akmalrizal berkata, suspek mengambil wang tunai berjumlah RM798 dan beberapa kotak rokok sebelum melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta.
“Polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.
“Polis juga sedang giat menjalankan usaha mengesan kesemua suspek,” katanya.
Individu yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat di talian 03-31872222.


