MAYAT dua lelaki masing-masing berusia 16 dan 46 tahun ditemukan dalam Sungai Kedah, berhampiran Titi Taman Persisiran Jeragan, di Alor Setar hari ini.
Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Ahmad Aminuddin Abd Rahim berkata, pihaknya menerima panggilan jam 8.45 pagi mengenai penemuan satu mayat tersangkut pada sampah di sungai berkenaan.
“Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar dan BBP Jalan Raja dihantar ke lokasi dan sebaik tiba, didapati seorang lelaki tersangkut pada tumbuhan yang terapung di permukaan sungai berhampiran titi, dipercayai sudah meninggal dunia, ” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Aminuddin berkata, hampir dua jam kemudian kira-kira jam 10.16 pagi, pihaknya menerima satu lagi maklumat orang awam memaklumkan terjumpa satu lagi mayat pada jarak 100 meter dari lokasi mayat pertama.
Selepas pemeriksaan bersama anggota polis, katanya, bomba membawa keluar mayat kedua itu sebelum kedua-dua mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat sepenuhnya jam 11.45 pagi.






