Sebak lihat jasad anak ditutup plastik

SEORANG ibu tunggal tidak mampu menyembunyikan kesedihannya apabila mendapati tubuh anaknya terbujur kaku selepas terbabit dalam nahas ngeri di Jalan Sungai Siput, Lubok China, dekat Alor Gajah semalam.

Kamariah Othman, 56, berkata, dia tekejut apabila mendapati jasad penunggang motosikal yang ditutup dengan plastik itu adalah anak tunggalnya, Muhammad Muiszudin Mohamad Yusof, 14.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.48 petang itu, motosikal ditunggang mangsa dipercayai melanggar sebuah kereta sebelum remaja itu tercampak ke laluan bertentangan dan digilis sebuah lori tangki.

Menurut Kamariah, sebelum kejadian dia sempat mengajak arwah yang mesra disapa ‘Adik’ menaiki kereta bersamanya untuk makan tengah hari di rumah adik perempuannya, Rohani, 55, di Taman Jati, Simpang Ampat.

“Saya larang dia naik motosikal sebab dia tak ada lesen memandu. Saya ajak naik kereta sekali.

“Tapi dia cakap, ‘Mak pergilah dulu, nanti kalau sempat Adik datang naik motor’,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Alor Gajah, lapor Harian Metro.

Katanya, kira-kira 10 minit selepas meninggalkan rumah dan tiba di Sungai Jernih, dia menerima panggilan daripada saudara memaklumkan anaknya terbabit dalam kemalangan berhampiran sebuah sekolah.

“Sampai saja di lokasi, saya nampak orang ramai berkerumun dan mangsa sudah ditutup dengan plastik. Terdetik dalam hati takkan anak aku?.

“Saya pergi, buka dan terkejut melihat anak saya dalam keadaan dah bersilang dan perut dia dah terkeluar. Adik satu-satunya anak saya… tapi Allah lebih sayangkan dia. Insya-Allah saya kuat,” katanya sebak.

Kamariah berkata, dia tidak menyangka perubahan sikap anaknya yang menjadi lebih pendiam sejak dua minggu lalu rupa-rupanya petanda pemergiannya.

“Kebelakangan ini dia banyak berdiam diri. Semalam, dia makan tiga lepat pisang berintikan kelapa yang saya buat kerana lama mengidam. Dia makan tiga biji dan minta lagi, saya minta tunggu sebab lepat sedang dikukus,” katanya.

Sementara itu, ibu saudara mangsa, Rohani dan Aidilah, 50, turut berkongsi kesedihan kehilangan pelajar Tingkatan 2 Sekolah Menengah Kebangsaan Lubok China itu.

“Arwah budak yang baik, kalau dimarahi dia hanya senyum. Dia juga rajin ke masjid dan kadang-kadang azan di surau,” katanya yang turut memaklumkan arwah sering mengunjungi rumahnya dan amat menggemari masakan lemak ketam.

Rakan arwah, Muhammad Nasri Abdullah, 16, pula berkata, Muhammad Muiszudin sempat membelanja rakan-rakan makan aiskrim serta mengisi minyak motosikal mereka sehari sebelum kejadian.

Jenazah mangsa disembahyangkan di Masjid Ar-Rabbani Kampung Sungai Siput sebelum dikebumikan bersebelahan pusara bapanya di Tanah Perkuburan Islam Solok Serban Hijau, Lubok China.

 

 

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img