IKRAM rehatkan serta merta tiga individu disiasat SPRM kes seleweng dana RM230 juta

SEBUAH pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) mengambil langkah merehatkan serta merta tiga individu yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam berkait penyelewengan dana zakat RM230 juta.

Presidennya, Badlishah Sham Baharin berkata, tindakan itu diambil bagi memastikan proses siasatan dijalankan secara telus.

“Mengambil maklum laporan berhubung penahanan oleh SPRM terhadap tiga individu di Hulu Selangor yang disyaki terlibat dalam siasatan berkaitan pengurusan dana zakat. IKRAM memandang serius perkara ini dan menegaskan bahawa integriti serta amanah merupakan asas utama yang sentiasa menjadi keutamaan dalam seluruh gerak kerja organisasi.

“Sebagai langkah pentadbiran dan tanpa sebarang prejudis kepada mana-mana pihak, individu yang terlibat telah direhatkan serta-merta daripada semua jawatan dan tanggungjawab dalam organisasi. Langkah ini diambil bagi memastikan kelancaran serta ketelusan proses siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Badlishah Sham, IKRAM akan terus memberikan kerjasama sewajarnya kepada pihak SPRM dalam siasatan selaras keperluan undang-undang dan prinsip keadilan.

Beliau bagaimanapun menegaskan, tindakan ketiga-tiga individu itu tidak melibatkan organisasi berkenaan secara langsung.

“Selaras dengan perlembagaan IKRAM, jika didapati bersalah, tindakan tata tertib akan diambil bagi memastikan integriti organisasi terus terpelihara.

“IKRAM akan terus menghormati proses undang-undang yang sedang berjalan dan tidak akan membuat sebarang ulasan lanjut berhubung perkara ini. Segala keputusan dan penjelasan adalah tertakluk kepada hasil siasatan pihak berkuasa.

“IKRAM komited untuk terus menilai dan memperkukuh amalan tadbir urus organisasi agar telus, berintegriti serta selaras dengan tuntutan syarak dan prinsip kedaulatan undang-undang. Semakan dalaman sedang dan akan diteruskan bagi memastikan penilaian yang menyeluruh,” kata kenyataan itu lagi.

Hari ini, dua individu termasuk seorang timbalan pengerusi sebuah NGO direman empat hari oleh Mahkamah Majistret Shah Alam bagi membantu siasatan kes penyelewengan dana zakat kira-kira RM230 juta.

Berdasarkan siasatan awal, timbalan pengerusi NGO itu dipercayai memindahkan RM230 juta ke dalam akaun syarikatnya bagi tujuan pelaburan dan peribadi.

Tiga suspek yang juga dua daripadanya adalah pengarah syarikat disyaki bersubahat melakukan perbuatan itu antara 2018 hingga 2024.

SPRM turut menyita 18 kenderaan mewah, rumah dan hartanah bernilai kira-kira RM11 juta serta pelbagai harta alih lain termasuk wang tunai dan jam tangan berjenama selain membekukan 33 akaun bank berjumlah kira-kira RM120 juta.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img