
BULAN Ramadan adalah antara bulan untuk usahawan kecil atau SME berpeluang meraih pendapatan lebih besar berbanding bulan-bulan lain.
Sebagai orang yang bertanggungjawab memberikan latihan kemahiran kepada pelbagai kumpulan sasar dan komuniti, saya akan memantau prestasi pendapatan mereka setiap kali bulan Ramadan atau musim perayaan.
Tahun ini saya meninjau usahawan Program Usaha Jaya Insan (PUJI), Labuan, peserta Program Ekonomi Sejahtera Rukun Tetangga (PESAT), Kuala Lumpur, Akuagro RT Johor, graduan Program 1 Azam Sabah dan usahawan di Perak.
Mereka mempunyai kumpulan WhatsApp dan Facebook yang sentiasa menghantar cerita-cerita terkini kepada saya, selain melaporkan pendapatan bulanan dan ketika musim perayaan.
Kesemua kumpulan ini mempunyai latar belakang daripada agensi berbeza seperti Jabatan Wilayah Persekutuan, Kerajaan Negeri Sabah, Kementerian Perpaduan Negara (KPN), Kementerian Pembangunan Luar Bandar (kini KKDW) dan lain-lain. Institut Agro dan Keusahawanan (IGROW) milik saya menjadi Rakan Strategik kerajaan sejak sekian lama.
Walaupun ada kalangan mereka sudah hampir 20 tahun menyertai program agensi-agensi berkenaan namun mereka masih mengekalkan hubungan bagi membolehkan kami mendapat maklum balas pencapaian pendapatan dan suka duka mereka dalam mencari rezeki.
Paling bongsu dalam semua program ialah PUJI Labuan. Dalam tempoh beberapa hari ini saya bertanya perkembangan peserta-peserta ini.

Saya hanya menyebut nama singkat mereka sahaja. Antaranya ialah Sue yang berniaga makanan dan air minuman di Bazar Ramadan, Jalan Wawasan, Labuan. Bagaimanapun pada tahun ini lesen Perbadanan Labuan hanya membenarkan beliau menjual makanan sahaja.
Berikutan itu Ramadan tahun ini pendapatan Sue boleh mencecah lebih RM 30,000. Tahun lalu Sue mencatatkan jualan hingga RM 60,000 sebulan kerana dibenarkan menjual minuman dan makanan.
Menurut Sue, bulan-bulan lain selain Ramadan, beliau mencatatkan jualan antara RM15,000 hingga RM30,000 sebulan.
Seorang lagi peserta, Yatih pula memberitahu tahun ini tempahan melalui online sambal dan bilis rangupnya lebih banyak berbanding tahun lalu. Beliau yakin pendapatannya boleh mencecah lebih RM30,000 pada bulan Ramadan kali ini.

Salah seorang peserta program PESAT Kuala Lumpur, Jamilah, di Kampung Pasir, Kuala Lumpur, gembira kerana mendapat kontrak membekalkan makanan kepada 200 golongan miskin setiap hari daripada sebuah badan kerajaan. Ini membolehkan KRT Kampung Pasir memanfaatkan kemudahan yang ada untuk menjana pendapatan sempena bulan Ramadan ini.
Setiap hari peserta Akuagro Johor turut melaporkan perkembangan berkaitan prestasi jualan produk komuniti kejiranan mereka antaranya ialah Nazri di KRT Johor.
Ada banyak lagi kisah kejayaan dalam kalangan golongan miskin tegar dan B40 yang boleh dipaparkan hasil kerajinan dan kemampuan mereka berdikari untuk menjana pendapatan
Inilah bukti keberkesanan latihan berpakej yang dijalankan sejak 15 tahun lalu merangkumi latihan TVET, proses bimbingan dan pemantauan berterusan.
TVET yang hanya memfokuskan kepada kemahiran makanan semata-mata akan gagal membentuk sikap dan daya usaha jika tidak disertai dengan bimbingan, motivasi serta pemantauan berterusan.
Di sinilah institusi seperti kami sepatutnya diberi akses untuk meneruskan gerak kerja seperti ini terutama dalam membasmi kemiskinan. Berbaloi sebenarnya peruntukan disediakan kerana dalam tempoh tidak sampai bertahun-tahun, pulangan modal kerajaan dapat dibuktikan melalui pendapatan mereka.
Lebih bernilai lagi ialah kejayaan bukan sahaja mengeluarkan mereka daripada kemiskinan, tetapi juga melahirkan usahawan yang menjadi teras kepada sumber kekayaan bangsa.
Saya telah menterjemahkan makna sebenar keberhasilan TVET. Bukan gah kepada saiz yang besar seperti pusat latihan awam. Tidak semestinya diberi penarafan lima bintang dan tidak semestinya diukur dengan kebolehpasaran makan gaji semata-mata.
Sebaliknya adalah sejauh manakah keupayaan kita menerapkan TVET kepada kumpulan sasar hingga mampu membentuk komuniti berpendapatan tinggi serta mencetuskan kelompok komuniti ekonomi seperti PUJI, PESAT, Akuagro dan lain-lain.
Segalanya melalui serampang banyak mata yang bersifat CEPAT, CEKAP, JIMAT DAN BERKESAN.
Terbaru, Kerajaan Thailand telah datang bergerombolan termasuk Duta Besarnya ke Malaysia, Lada Phumas untuk bekerjasama menjadikan model TVET kami dalam membasmi kemiskinan di negara mereka.
Kepada Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Pak Menteri dan ketua-ketua jabatan yang sudah mengenali kami, usahlah susah sangat nak meneruskan usaha kami ini sebagai rakan strategik.
Saya akhir artikel minggu ini dengan mengucapkan Selamat Maju Jaya kepada Datuk Seri Indera Noridah Abdul Rahim, bekas Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan dan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara yang menjadi pemimpin program PUJI Labuan dan KRT WP Kuala Lumpur suatu masa dahulu. Difahamkan beliau sudah memikul tugas baru di jabatan lain.
*Penulis adalah usahawan dan aktivis sosioekonomi


